Pembatalan Hingar Aktif

APAKAH IA? BAGAIMANAKAH IANYA BERFUNGSI?

Kadangkala, apa yang kita inginkan hanyalah suasana senyap. Sama ada sewaktu berjalan kaki, ketika berada di stesen kereta api mahupun di dalam kapal terbang, ianya boleh menjadi serabut dan bising terutama sekali pada waktu kemuncak. Atau mungkin juga kita hanya ingin mendengar lagu yang sedap atau video ASMR, selain daripada keinginan kita yang mahukan ketenangan dan kedamaian, kita juga perlu pelihara pendengaran kita daripada bunyi yang bising yang menyakitkan telinga. Oleh itu, terciptalah teknologi pembatalan hingar bunyi untuk tujuan seperti ini.

Pada zaman ini, istilah tersebut seringkali kita dengari dalam kehidupan seharian kita. Selalunya kita akan mendengar istilah ini digunapakai pada peranti audio seperti earphone dan headphone. Tetapi apakah sebenarnya ia? Ianya adalah satu teknologi untuk menghapuskan hingar daripada pendengaran kita. Bagaimanakah ianya berfungsi? Teknologi ini tidaklah menghapuskan hingar dengan menyekatnya secara langsung. Tetapi, terdapat mikrofon pada peranti audio tersebut yang mengesan hingar pada persekitaran dan menghasilkan gelombang bunyinya sendiri untuk membatalkan hingar persekitaran tersebut. Ini akan menghasilkan hingar yang kurang dan bunyi yang lebih jelas

Pada tahun 1950an, Lawrence Fogel mencipta dan membeli paten untuk teknologi yang mana pada awalnya digunapakai dalam industri avaisi bagi membolehkan juruterbang helicopter dan kapal terbang berasa lebih senyap. Dalam dunia sekarang, teknologi ini digunakan secara besar-besaran untuk peranti audio berpusatkan pengguna seperti fon telinga

Bagaimanakah pembatalan hingar aktif berfungsi?

Pada fon telinga terdapat mikrofon yang boleh menangkap bunyi persekitaran. Kemudian, fon telinag tersebut akan menganalisis gelombang bunyi tersebut dan menghasilkan gelombang bunyi yang bertentangan daripada gelombang bunyi persekitaran dan ini menghasilkan interferens memusnah(destructive interference). Bayangkan ombak laut; corak riak(ripple pattern) dari air laut menghasilkan puncak(crest) dan lembangan(trough), iaitu bahagian yang tinggi dan bahagian yang rendah. Sekiranya bahagian tinggi puncak bertemu dengan bahagian rendah lembangan, maka fenomena tersebut akan membatalkan satu sama lain dan menghasilkan laut yang rata tanpa ombak. Contoh yang lebih mudah adalah, hasil tambah +1 dan -1 bersamaan dengan 0. Jadi secara asasnya, begitulah teknologi pembatalan hingar aktif pada fon telinga berfungsi. Tambahkan puncak pada lembangan dan tambahkan lembangan pada puncak, tetapi gantikan gelombang ombak dengan gelombang bunyi.

Namun demikian, teknologi pembatalan hingar aktif adalah tidak sempurna. Teknologi ini tidaklah menyekat bunyi sekeliling sepenuhnya mahupun menghasilkan suasana senyap tetapi sekadar mengurangkan hingar. Bunyi berfrekuensi rendah adalah paling berkesan. Bunyi kuat daripada kereta di jalan raya menjadi bunyi perlahan. Bunyi kuat daripada enjin kapal terbang menjadi bunyi perlahan. Pada julat vocal manusia, yang mempunyai frekuensi lebih tinggi daripada frekuensi bunyi sekeliling, maka fon telinga tidak berkesan dengan baik. Oleh itu, sekiranya anda memakai fon telinga di dalam bas bandar dengan harapan untuk menyekat bunyi bayi menangis 3 baris di belakang kerusi anda, minta maaf kawan. Tidak akan berkesan.

Kesan sampingan?

Terdapat beberapa kes dimana pengguna fon telinga pembatalan hingar aktif melaporkan mereka mengalami pening dan ketidakseimbangan badan semasa menggunakan fon telinga tersebut. Dalam sebuah temu ramah daripada Wall Street Journal, diterangkan oleh doctor telinga,hidung dan tekak dari Big Apple, doctor Sarah Stackpole berkata, getaran frekuensi tersangat-rendah yang terhasil daripada teknologi pembatalan hingar boleh dialirkan, yang mana akan merangsang reseptor imbangan yang bersambung dengan stereocilia di telinga, juga dikenali sebagai sel bulu pendengaran. Kemudian, reseptor ini akan menghantar komunikasi palsu ke otak kita, iaitu kepala kita sedang bergerak sedangkan kita sedang diam kaku. Isyarat bercampur ini menipu otak supaya berfikir kita sedang bergerak lalu membuatkan kita pening. Salah satu penyelesaian adalah dengan mengurangkan kadar pembatalan hingar aktif.

Pilihan lain selain daripada ANC

Kalau anda rasa tidak suka dengan teknologi pembatalan hingar aktif(ANC), terdapat pilihan lain untuk membatalkan hingar iaitu cara pembatalan hingar pasif. Mempunyai fungsi yang sama; untuk mengurangkan hingar tetapi sedikit berbeza daripada ANC. Pembatalan hingar pasif menyekat gelombang bunyi dari sekeliling melalui bahan yang digunapakai. Bahan yang terbaik untuk cara ini adalah bahan yang lembut, ringan, gebu dan berliang kerana bahan tersebut boleh menyerap gema dengan lebih berkesan.

Pernahkan anda melihat pekerja di tapak pembinaan menggunakan gerudi hammer jack sambal menggunkan fon kepala? Sebenarnya itu adalah penutup telinga, direka bentuk untuk melindungi pendengaran mereka memandangkan mereka bekerja di persekitaran yang bising. Atau mungkin, anda pernah pergi ke studio rakam muzik yang dindingnya diperbuat daripada bahan yang lembut dan berliang dan anda tertanya ”Apa benda tu?”. Benda itu sebenarnya adalah panel akustik untuk menyerap bunyi Ketika merakam muzik meraka supaya muzik tersebut jelas didengari. Ini adalah sebahagian contoh penggunaan kaedah pembatalan hingar pasif. Tambahan pula, fon kepala murah biasanya tidak disertakan teknologi ANC. Jadi fon kepala tersebut diberikan sepasang cup  yang besar dan lembut untuk memuatkan keseluruhan telinga di dalamnya supaya bunyi sekeliling dapat dikurangkan.

Konklusi

Teknologi pembatalan hingar, sama ada aktif atau pasif, direka untuk melindungi pendengaran kita daripada rosak. Terdapat banyak kegunaan teknologi ini yang boleh diaplikasikan dalam pelbagai bidang. Dalam dunia hari ini, terdapat pencemaran bunyi di mana-mana. Kita mesti pastikan kita tidak akan terkesan secara negative daripadanya.

Rujukan

(Pardiwala, 2019)Pardiwala, A. (2019). What Are Noise Cancelling Headphones and How Do They Work? Retrieved November 16, 2020, from https://gadgets.ndtv.com/audio/guide/what-are-noise-cancelling-headphones-and-how-do-they-work-2035865

Ditulis oleh Muhammad Syahid

Disiarkan pada 19 November 2020

Leave a Comment

Verified by MonsterInsights