Bunyi vs kebisingan -
Apakah perbezaannya?
Bunyi? Bising?
Perkataan “bunyi” dan “bising” sangat biasa digunakan dalam perbualan harian kita. Namun demikian, adakah kita menggunakan kedua-dua perkataan ini dengan betul? Adakah mereka mempunyai maksud yang sama?
Jawapannya, tidak.
Sebenarnya, bunyi dan kebisingan berkaitan, tetapi bukannya sama. Kita boleh mengatakan bahawa kebisingan ialah bunyi, tetapi bunyi bukan selalunya kebisingan. Apakah konsep yang mejadikan perbezaannya?
Bunyi merupakan sesuatu penggangguan tenaga mekanik yang melalui jirim dalam bentuk gelombang., dimana jirim itu boleh berada dalam bentuk pepejal (solid), cecair (liquid) dan gas. Bunyi dihasilkan apabila zarah udara mengalami getaran. Secara ringkas, bunyi ialah apa yang boleh didengar (DOSH, 2016).
Sebaliknya, kebisingan, juga dikenali sebagai hingar didefinasi sebagai bunyi bising, atau bunyi yang tidak diingini (DOSH, 2016). Apabila hingar menjadi terlalu kuat, ia akan menyebabkan gangguan, ketidakselesaan, dan mungkin akan membawa kepada kerosotan pendengaran jika kelantangan hingar terlalu kuat. Kerosotan tersebut banyak berkaitan dengan beberapa faktor, seperti kekuatan (amplitud), nada (frekuensi) dan tempoh pendedahan kepada bunyi. Sekarang, sila menurunkan kekuatan bunyi pembesar suara anda, dan cuba mendengar audio di bawah ini supaya lebih senang untuk “menggambarkan” suara hingar.
Contoh Kebisingan
Adakah anda berasa tidak selesa?
Secara ringkas, bunyi boleh diukur dengan unit decibel (dB), yang meunjukkan kekuatan bunyi, dan unit Hertz (Hz), bagi kuantiti frekuensi (Rose, 2002) (Pilhofer, 2007). Biasanya, julat pendengaran manusia jatuh antara 20 Hz hingga 20 kHz, di mana bunyi dalam julat 500 Hz hingga 4 kHz merupakan tahap julat yang paling sensitive bagi manusia (Olson, 1967).
Cuba mendengar kedua-dua suara ini bagi mengenal pasti perbezaan bunyi antara 500 Hz dan 4 kHz. Jangan lupa untuk mengurangkan kekuatan pembesar suara anda!
Bunyi 500 Hz
Bunyi 4 kHz
Kesimpulannya, kita telah menerangkan tentang asas bidang akustik, iaitu bunyi. Adakah anda bersedia untuk menyertai perjalanan kita untuk melanjut ke dunia akustik?
Rujukan
DOSH, D. O. O. S. A. H. M., 2016. Introduction of Noise and Legal Requirements, s.l.: s.n.
Olson, H. F., 1967. Music, Physics and Engineering. s.l.:Dover Publications.
Pilhofer, M., 2007. Music Theory for Dummies. s.l.:s.n.
Rose, J., 2002. Audio postproduction for digital video. p. 25.
Ditulis oleh Seow Khei Yinn
Disiarkan pada 07 Ogos 2020